
PENYANYI dan komposer, Amylea Azizan (kanan), ketika hadir sebagai tetamu program ‘Show Buzz’ terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua dekad mengabadikan diri kepada dunia seni, penyanyi dan komposer Amylea Azizan sudah tentunya melalui pelbagai fasa jatuh bangun yang mendewasakannya dan mencetus evolusi dalam gaya berkarya.
Bagi menandakan 20 tahun pembabitannya dalam dunia muzik tempatan, pelantun lagu Kendati itu berhasrat menghadiahkan beberapa karya solo baharu yang dijangka dilancarkan sekitar Ogos atau September depan kepada peminatnya.
“Saya ada beberapa pilihan (lagu) yang belum ditetapkan lagi… kita tengah fikirkan, kemungkinan besar dua atau tiga (lagu), macam set of single,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Show Buzz terbitan Bernama Radio baru-baru ini.

Berkenaan pemilihan genre, penyanyi yang mendapat julukan ratu OST (runut bunyi) itu juga bakal mengenengahkan beberapa genre berbeza yang bukan sahaja dapat memenuhi selera pendengar, tetapi juga ruang untuk beliau menghasilkan lagu yang dekat di hatinya sebagai pengkarya.
Tidak pernah putus dengan lagu baharu, Amylea yang tampil dengan single Masa pada awal tahun, kini giat mempromosikan duet bersama-sama usahawan kosmetik Datuk Alha Alfa berjudul Pamit yang telah diperdengarkan dua minggu lalu.
“Kita juga masih lagi dalam tempoh mempromosikan lagu Seribu Tahun Lagi yang sedang mendapat sambutan ramai,” katanya.

Menyentuh pencapaian dalam industri, komposer lagu Raya Nak Ke Mana? itu selesa dengan perjalanan seni yang dilalui dan berbangga banyak hasil kerjanya sepanjang dua dekad menjadi lagu hit sekalipun namanya sendiri tidak begitu menonjol.
Sepanjang kerjayanya, Amylea pernah bekerjasama menghasilkan lagu untuk ramai artis ternama termasuk Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Marsha Milan, Imran Ajmain dan Hael Hussaini.
“Saya tak ada angka sebenar jumlah lagu telah dihasilkan, tapi baru-baru ini kita go through sebab nak buat mini showcase bagi meraikan peminat yang bersama-sama saya selama ini, rupanya menghampiri angka 100.
“Bagi saya dah capai ke tahap yang saya sendiri rasa ‘Wow’, alhamdulillah diberi rezeki ini’, idea-idea ini bukan mudah nak dapat, ia pencapaian yang ‘gila’, walaupun bukan semua (lagu dihasilkan) popular,” katanya yang mengagumi karya Noh Salleh dan Yuna. — Bernama