

MENGGALAKKAN… Chiew Choon Man hadir pada Program Jualan Rahmah di Masjid Al-Ummah, Lorong Delima di MIRI, minggu lalu.
MIRI: Program Jualan Rahmah Bergerak MADANI terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu telah diadakan di Masjid Al-Ummah, Lorong Delima, di sini pada minggu lalu.
“Pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam segar, telur, minyak masak, susu kanak-kanak, beras, bahan pencuci, dan lain-lain ditawarkan dengan harga yang disubsidi oleh Kerajaan Persekutuan.
“Potongan harga mencecah sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa, memberikan kelegaan besar kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan dengan kos sara hidup.
“Sambutan hangat daripada penduduk membuktikan bahawa program seperti ini benar-benar menyentuh keperluan rakyat,” katanya yang turut hadir meninjau suasana program tersebut.
Chiew berkata, ramai yang hadir awal pagi untuk mendapatkan barangan dan mereka menyatakan harapan agar program sebegini dapat diteruskan secara berkala, bukan sahaja di Lorong Delima tetapi diperluaskan ke kawasan lain di sekitar Miri.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan KPDN atas komitmen berterusan dalam melaksanakan inisiatif yang menyasarkan rakyat secara langsung.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup, tetapi juga menjadi platform interaksi yang sihat antara rakyat dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau akan terus menyokong dan bekerjasama untuk menganjurkan lebih banyak Program Jualan Rahmah Bergerak di kawasan Parlimen Miri dalam masa terdekat.
“Kita mahu pastikan tiada golongan yang tercicir dan semua rakyat mendapat akses kepada keperluan asas pada harga yang berpatutan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling