
LAWAS: Persatuan Tarik Tali Negeri Sarawak (PTTS) telah mengadakan kunjungan muhibah ke Sabah semalam bagi mengeratkan hubungan silaturahim bersama Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah.
Presiden PTTS, Steve Lius hadir di Papar, Sabah bagi menyertai sesi pemilihan pasukan tarik tali yang bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Tarik Tali Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-79 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei yang akan berlangsung di Brunei Darussalam dari 1 hingga 4 Ogos 2025.
Pertandingan tersebut adalah atas jemputan rasmi daripada Persatuan Tarik Tali Brunei Darussalam dan dijangka melibatkan penyertaan beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina, Malaysia serta beberapa negara luar lainnya.
Sepanjang pertemuan tersebut kedua-dua persatuan berjiran iaitu Sabah dan Sarawak telah berkongsi pelbagai pandangan bersama Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah, Junaidy Zakariah.

Antara topik yang dibincangkan termasuk pengurusan organisasi, pelaksanaan aktiviti persatuan serta perkembangan sukan tarik tali di peringkat Borneo dan Malaysia secara amnya.
Dalam kejohanan pemilihan tersebut, lapan pasukan telah menyertai pertandingan bagi merebut tiket ke kejohanan antarabangsa itu, dan Pasukan Reborn Sabah telah terpilih untuk mewakili Malaysia di Brunei.
Persatuan Tarik Tali Negeri Sarawak juga dijangka akan terlibat secara langsung dalam pertandingan tersebut sebagai rakan tarik tali serantau mewakili Malaysia.
Kedua-dua persatuan turut mencapai kesepakatan untuk terus bekerjasama dalam pelbagai bidang bagi memajukan sukan tarik tali di negeri masing-masing serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Sabah dan Sarawak.
Oleh Adeng Edrus