Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • UTS, Akademi Teknologi Entera diiktiraf Pusat Latihan Sistem Solar Fotovoltaik di Sarawak
  • PENDIDIKAN

UTS, Akademi Teknologi Entera diiktiraf Pusat Latihan Sistem Solar Fotovoltaik di Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
DATO Sri Julaihi Narawi (tengah) bersama yang lain pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi UTS sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan bagi Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) hari ini. Foto: Tarani Lanting

SIBU: Usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tenaga boleh diperbaharui terus diperkukuh apabila Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Akademi Teknologi Entera secara rasmi diiktiraf sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan bagi Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV).

Naib Canselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu detik bersejarah bukan sahaja untuk institusi berkenaan tetapi juga dalam menyokong agenda tenaga hijau negara, khususnya di Sarawak.

“Ini bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap keupayaan akademik dan teknikal kami, tetapi juga satu amanah besar dalam mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga mampan dan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi UTS sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan bagi Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) yang disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi hari ini.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara UTS dan Akademi Teknologi Entera bermula sejak 2018 menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan sejak itu kerjasama ini berkembang secara aktif termasuk penglibatan dalam pelaksanaan Program Skim Permeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi kawasan kediaman di Haiton Residence, Kuching.

Program reka bentuk sistem solar fotovoltaik yang dibangunkan hasil kerjasama itu turut mendapat sentuhan pakar antarabangsa menerusi penglibatan Penyelesaian Tenaga Mampan Global (GSES) dari Australia yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam latihan tenaga boleh diperbaharui.

“Program ini responsif kepada keperluan industri semasa dan berimpak besar dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sejajar dengan matlamat Sarawak menjadi hab tenaga hijau serantau,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Akademi Teknologi Entera, Dr Abang Hatta Abang Taha berkata, pengiktirafan yang diterima memberi laluan kepada penyediaan latihan dan peperiksaan kompetensi yang selari dengan garis panduan Unit Pemeriksaan Elektrik (EIU).

“Kepakaran ini penting dalam menyokong pelaksanaan projek solar berskala besar seperti projek Solar Skala Besar (LSS) dan solar terapung, selain memastikan aspek penyelenggaraan jangka panjang operasi dan penyelenggaraan (O&M) dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, Akademi Teknologi Entera bersama UTS dan sokongan teknikal daripada GSES Australia akan terus komited membentuk barisan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam teknologi hijau.

Inisiatif ini secara langsung memperkukuh ekosistem latihan teknikal di Sarawak dan menjadi asas kukuh dalam merealisasikan hasrat negeri untuk mencapai status bebas karbon menjelang tahun 2050. Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Petronas tingkat pendidikan STEM berkualiti di Baram
Next: UPM Cawangan Sarawak dijenama semula Universiti Putra Malaysia Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.