
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM423 juta untuk dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Menurut PNB dalam kenyataan hari ini, pengagihan pendapatan itu adalah bersamaan dengan 5.25 sen seunit kepada 338,320 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.25 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.51 peratus, dengan kelebihan 274 mata asas,” katanya.
Katanya sehingga 19 Jun lepas, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM539.10 juta. – Bernama