
BINTANGOR: Sambutan ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Baling, Bukit Sanggau bukan sekadar penutup perayaan Gawai Dayak, malah menjadi simbol penyatuan masyarakat dan kekuatan warisan budaya komuniti Iban, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut beliau, majlis tersebut mencerminkan semangat kekeluargaan, permuafakatan serta usaha memelihara adat resam dan budaya tradisi.
“Saya amat menyokong usaha sebegini yang bukan sahaja mengekalkan adat tradisi, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan gereja,” katanya ketika berucap pada majlis anjuran Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor di Rumah Baling, semalam.
Ding turut menyatakan sokongan berterusan terhadap aktiviti gereja yang telah memainkan peranan aktif sejak penubuhannya di Daerah Meradong.
Beliau menegaskan bahawa jalinan kerjasama seperti ini akan terus diperkukuh sebagai tanda kepercayaan dan sokongan terhadap peranan agama dalam mempererat komuniti.
Pada majlis itu, Ding turut mengumumkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 kepada Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor dan RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Baling, Bukit Sanggau bagi pelaksanaan aktiviti tahunan 2025.
Oleh Earl Anek