Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sekat kandungan, akaun hanya boleh dibuat penyedia platform media sosial – Fahmi
  • SEMASA

Sekat kandungan, akaun hanya boleh dibuat penyedia platform media sosial – Fahmi

Utusan Sarawak 10 hours ago
MENTERI Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berucap merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Tindakan menyekat atau menurunkan sesuatu kandungan ataupun akaun media sosial hanya boleh dilaksanakan oleh penyedia platform itu sendiri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerajaan tiada kuasa untuk mengarahkan penyedia platform media sosial untuk mengambil sebarang tindakan kerana ia hanya dilakukan sekiranya kandungan atau akaun itu telah melanggar undang-undang.

“Bila satu-satu kandungan ataupun akaun itu diturunkan atau disekat, ia bermaksud platform akur dengan undang-undang yang sedia ada dan mereka percaya bahawa kandungan itu telah melanggar undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop dan Ahli Parlimen Batu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) P. Prabakaran.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmiannya berkata sebanyak 173,642 kandungan telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial sejak 1 Jan hingga semalam.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata daripada jumlah itu, 51 peratus atau lebih 90,000 daripadanya melibatkan judi dalam talian dan lebih 43,000 ialah jenayah scam manakala selebihnya melibatkan lain-lain jenayah.

Platform Facebook dikenal pasti paling banyak memaparkan iklan perjudian dalam talian dan penipuan dalam talian atau scam, selain TikTok sebagai antara penyumbang tertinggi manakala platform paling lemah dalam menguruskan isu scam ialah Telegram.

“Daripada jumlah kandungan yang diminta diturunkan di Telegram, separuh daripadanya ialah berkaitan penipuan, tetapi platform itu tidak menurunkan semuanya. Jadi, kita perlu ambil keputusan yang tegas terhadap platform-platform ini.

“Pihak Telegram akan datang ke Kuala Lumpur minggu ini untuk meneruskan perbincangan dengan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengenai antara lain scam, judi dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak, bahan persundalan dan juga bahan hak cipta filem atau episod televisyen yang sebelum ini diperoleh melalui pelbagai saluran dalam Telegram,” katanya.

Bagaimanapun, Fahmi berkata Telegram beroperasi dengan sumber manusia yang terhad, iaitu kira-kira 50 orang sahaja meskipun mempunyai lebih satu bilion akaun pengguna di seluruh dunia.

Sementara itu, program NANBA yang diilhamkan daripada perkataan Tamil bermaksud ‘kawan’ ialah satu inisiatif strategik anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang melambangkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hubungan erat bersama komuniti India, khususnya golongan belia, serta memperluas penyampaian maklumat kerajaan secara inklusif dan berkesan.

Program itu turut menjadi platform komunikasi dua hala efektif dalam memperkasakan akses masyarakat kepada maklumat berkaitan dasar, inisiatif serta pelbagai peluang yang ditawarkan oleh kerajaan di samping mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan dan maklumat secara langsung kepada rakyat.– Bernama

Continue Reading

Previous: ATM perlu bersedia dilengkapi teknologi pertahanan terkini – Agong
Next: Anak Sarawak juara Sains, Teknologi UG i-Fest 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.