ADENG IDRUS
LAWAS: Semua petugas barisan hadapan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan dan Bukit Sari perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam menghulurkan bantuan sumbangan Sarawakku Sayang kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Henry Sum Agong yang dihubungi menyatakan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan barisan depan kedua-dua Pusat Khidmat PBB Ba’kelalan dan Bukit Sari bermula dengan bantuan sumbangan beliau dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas turut menghargai sumbangan rakan media yang membuat liputan dan laporan berita mengenai kerja pengagihan sumbangan itu.
“Memang kita tidak dapat balik ke Lawas dan Sarawak buat masa ini, tetapi kita mengikuti perkembangan melalui media massa dan melalui keratan akhbar yang disedia petugas pejabat kita di Sarawak.
Oleh itu beliau berharap agar agihan paparan berita wajar dilakukan secara adil daripada utara Sarawak ke selatan dan tidak bertumpu pada satu kawasan setiap hari,” ujarnya.
Henry Sum turut menasihatkan para dermawan yang ingin turut sama menyumbang bantuan untuk mendaftar organisasi dan persatuan yang mereka wakili ke Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang yang dipengerusikan Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.
Ini memastikan tidak berlaku pertindihan bantuan, selain menyelaraskan bantuan atas sebab yang sama iaitu untuk beramal dan berbakti.
Bagi Bahagian Limbang yang membabitkan daerah Lawas dan Limbang, segala maklumat dan butiran bantuan direkodkan dengan telus sebagai rujukan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau menolak sebarang salah laku dan tuduhan tidak berasas sesetengah pihak berhubung jumlah dan bentuk barangan bantuan yang diagihkan.
“Kita terbuka dan telus dalam menguruskan sumbangan bantuan sepanjang arahan PKP.Malahan setiap daerah ada cara tersendiri untuk mengagihkan barangan berdasarkan faktor geografi, jumlah penduduk dan sebagainya,” tambah beliau.
Henry Sum sekali lagi mengingatkan semua penduduk di Parlimen Lawas untuk terus mematuhi arahan PKP dan menjadikan Lawas daerah bebas Covid-19.
Beliau turut menasihatkan pengguna laman sosial untuk lebih bijak memuatkan maklumat kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas segala maklumat palsu dan fitnah yang dipaparkan dalam laman media sosial.