
KUCHING: Sambutan Gawai anjuran Kolej Universiti i-CATS berlangsung meriah di Dewan Tan Sri Aziz (TSA), i-CATS, mengetengahkan tema ‘Segulai Sejalai i-CATS: Menyemarakkan Tradisi, Mengeratkan Komuniti Global.’
Naib Canselor i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi menegaskan i-CATS bukan sahaja institusi pengajian tinggi, malah medan pertemuan pelbagai budaya etnik dari seluruh Sarawak dan pelajar luar negeri.
“Sambutan ini memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan pelajar dan melestarikan warisan budaya tempatan agar terus segar selari dengan arus pemodenan,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pula menekankan majlis seperti ini penting dalam menyemai semangat perpaduan dan kecintaan terhadap budaya tempatan dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.
“Tema Segulai Sejalai i-CATS mencerminkan aspirasi kita ke arah Sarawak yang berpengetahuan, berbudaya, dan berdaya saing menjelang 2030,” katanya.
Beliau juga menyifatkan i-CATS sebagai institusi strategik dalam pembangunan modal insan negeri dan menegaskan komitmen MEITD dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi inklusif berasaskan budaya tempatan.
“Kementerian akan terus mendukung usaha i-CATS memperkukuh kerjasama industri, memperluas jaringan antarabangsa dan meningkatkan program TVET selaras keperluan ekonomi digital, tenaga hijau, teknologi pertanian, dan pelancongan budaya,” tambahnya.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan tradisional dan penyertaan pelajar pelbagai kaum, mencerminkan keharmonian serta kekayaan budaya Sarawak.
Oleh Norman B.