KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini meningkatkan sasaran kadar kitar semula di enam negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah seliaannya kepada 40 peratus menjelang 2025.
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir Zulkifli Tamby Chik berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai susulan perkembangan positif dalam peningkatan kutipan barangan kitar semula, selain telah mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan tahun ini.
“Berdasarkan cerapan data yang dibuat, terdapat peningkatan kutipan kitar semula yang ‘ketara’ pada 2020 berbanding 2019.
“Misalnya jumlah kutipan barangan kitar semula pada Mei tahun ini adalah sebanyak 307.63 tan berbanding (tempoh sama) Mei tahun lepas yang berjumlah 163.15 tan,” katanya kepada Bernama.
Zulkifli berkata, trend positif itu juga dilihat ketara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas, yang mana ia dilihat dipengaruhi sikap dan kesedaran masyarakat terhadap budaya kitar semula yang sekali gus membantu mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.
“Walaupun perkhidmatan lain (seperti pusat kitar semula) yang menjadi penyumbang utama barangan kitar semula ditutup (semasa PKP), namun masih terdapat peningkatan dalam kutipan kitar semula dan “penggerak” peningkatan adalah peranan masyarakat,” katanya sambil menambah perbandingan antara dua tahun itu juga dilihat meningkat pada bulan yang lain.
Perkembangan positif itu juga membantu mempengaruhi penurunan janaan sisa pepejal terutama mencecah 40 peratus ketika pelaksanaan PKP iaitu daripada 582,585 tan sebelum PKP kepada 343,061 tan selepas PKP.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah janaan sisa pepejal menurun pula kepada 209,207 tan dan semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) (setakat 30 Jun) ia menurun lagi kepada 166,058 tan,” katanya yang juga berpandangan penurunan itu berikutan penutupan sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) sejak PKP diumumkan .
Ditanya adakah agensi tersebut menjangkakan jumlah janaan sisa pepejal itu akan menunjukkan penurunan selepas PKPP, Zulkifli berkata ia bergantung kepada sikap masyarakat untuk mengekalkan amalan positif tersebut.
“Kerajaan menghabiskan hampir RM1.9 bilion setahun untuk kerja-kerja kutipan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini, jika trend positif (pengurangan janaan sisa pepejal) ini dikekalkan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan negara selain menyumbang kepada kelestarian alam,” katanya.
Dalam pada itu, SWCorp juga akan memperluas dan mempertingkatkan penggunaan teknologi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam memastikan kualiti perkhidmatan berkualiti tinggi dan pengurusan kos yang efektif.
Zulkifli berkata pihaknya akan meneliti aspek fasiliti dan tapak pelupusan yang semakin terhad dan mencemarkan alam sekitar melalui kolaborasi dengan pihak industri dan tenaga pakar dalam mencapai tahap kos operasi yang cekap dalam jangka masa panjang.
“Kita tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan , kerana tapak pelupusan di Malaysia dah agak banyak dan tepu, jadi kita akan lihat balik strategi dan pelan tindakan komprehensif, dengan mewujudkan fasiliti ke arah penukaran sisa pepejal kepada tenaga (Waste to Energy), rawatan sisa binaan dan rawatan sisa makanan,” katanya.
Buat masa ini terdapat empat tapak penunu mini yang dalam projek perintis masing-masing di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.
“SWCorp juga berhasrat meneroka pembangunan dalam bidang perawatan sisa makanan dengan teknologi ‘Anaerobic Digester’ memandangkan ia merupakan komposisi terbesar sisa pepejal di Malaysia iaitu 44.5 peratus,” katanya.
SWCorp bertanggungjawab mengawal selia enam negeri yang menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kedah, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Kuala Lumpur dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Agensi itu turut mengawal selia Tapak Pelupusan Tertak Batu, Terengganu, untuk pelupusan sisa pepejal. – Bernama