
SIBU: Seramai tujuh petinju muda dari Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas aksi cemerlang dalam separuh akhir Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Sibu Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu.
Mereka yang layak ke pusingan akhir ialah Muhammad Faiz Mohamad Taib dalam kategori 13-14 tahun lelaki (44 kilogram), Muhammad Irfan Mohamad Ishak, Junior 15-16 tahun (57 kg), Lazerius Chung Huang Sheng, Junior 15-16 tahun (63 kg), Tristan Aeden Minggu, Junior 15-16 tahun (67 kg), Mohamad Azimi Firdaus Saifudin, kategori Remaja Lelaki (86 kg).
Selain itu dua petinju perempuan yang turut berjaya melangkah ke pusingan akhir ialah Zaidatul Batrysia Kamaruddin, Bakat 13-14 tahun (44 kg) dan Eurenia Jackie Joachim dalam kategori Remaja Perempuan (67 kg).
Enam petinju yang mara ke pusingan separuh akhir ialah Nelson Nankai Sibat yang beraksi dalam kategori Junior 15-16 tahun (50 kg), Bellamy Simon Vivlington Banau (52 kg), Mohd Zulkarnain Iswandy (54 kg), Mohamad Zakwan Kamaruddin (60 kg), Fenstein Fabrian Dominic (71 kg) dan Fikry Dainal Abdullah (71 kg).
Sementara itu, seorang petinju Zarif Naqiu Abdullah yang beraksi dalam kategori Bakat 13-14 tahun (32 kg) telah berjaya mengenggam pingat gangsa.
Ketua Jurulatih TBBC, Kamaruddin Mohammad, melahirkan rasa bangga terhadap prestasi luar biasa anak buahnya yang menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan.
“Alhamdulillah, pasukan kita (TBBC) mempunyai semangat melawan yang cukup tinggi, kental dan berkobar-kobar untuk memburu gelaran. Tujuh petinju yang berjaya melangkah ke pusingan akhir ini merupakan satu kejutan dan diluar jangkaan kami,” katanya.
Beliau turut berbangga dengan enam petinju muda mereka yang turut berjaya menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir semalam.
“Saya berharap kesemua tujuh petinju itu nanti akan menghadiahkan kilauan emas buat TBBC Sri Aman, begitu juga enam petinju yang beraksi dalam pusingan separuh akhir esok akan turut melangkah ke pusingan akhir,” ujarnya.
Dalam pada itu, aksi pusingan separuh akhir akan berlangsung esok, manakala pusingan akhir akan berlangsung Jumaat dan Sabtu ini di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu.
Kejohanan yang berlangsung selama tujuh hari ini dianjurkan oleh Persatuan Tinju Bahagian Sibu (SBA) dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dan Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) serta mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
TBBC Sri Aman menghantar 15 petinju ke kejohanan ini, terdiri daripada 13 lelaki dan dua perempuan.
Oleh Adi Safarman