SERDANG: Sebanyak 1,600 keluarga penerima dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO), rumah anak yatim dan madrasah terpilih sekitar Lembah Klang memperoleh manfaat menerusi inisiatif “Korban Perdana dengan IKHLAS” yang menyumbangkan 11 ekor lembu, semalam.
Ketua Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah yang keempat diadakan dengan kerjasama IKHLAS iaitu jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk membantu komuniti Muslim.
“Mahsuri berharap sumbangan dan kerjasama ini dapat membantu masyarakat yang terjejas terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid -19.
“Ini merupakan program kebajikan (CSR) yang keempat bersama Ikhlas.com sejak PKP bermula. InsyaAllah kami akan terus bekerjasama dengan Ikhlas.com atau mana-mana NGO untuk terus membantu masyarakat tempatan yang asnaf,” katanya selepas program Korban Perdana dengan IKHLAS, di sini.
Turut hadir Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin, usahawan selebriti tempatan Datuk Fizz Fairuz dan Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.
Menurut Mohd Jazri, pelaksanaan ibadah korban dari proses penyembelihan serta melapah dijalankan dalam suasana normal baharu dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu tidak lebih 20 orang untuk seekor haiwan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dijaga untuk mengelak penularan Covid -19.
“Mahsuri sebagai syarikat pengeluar kicap dan sos masakan tempatan berhasrat untuk membantu komuniti tempatan kerana ramai antara mereka terjejas kerana PKP. Program hari ini antara tanggungjawab sosial korporat Mahsuri Food untuk memberi balik kepada masyarakat, dan kita bekerjasama dengan IKHLAS kerana kita mempunyai misi dan objektif yang sama,” katanya.
Sementara itu, Ikhlas berkata susulan sambutan menggalakkan melalui “Korban Perdana dengan IKHLAS”, pihaknya akan terus menyediakan perkhidmatan lain yang mudah dan lancar untuk umat Islam memenuhi kewajipan mereka membantu golongan memerlukan.
“Kami berterima kasih kepada mereka yang menempah korban melalui perkhidmatan dalam talian. Bersama-sama kita menjadikan sambutan Aidiladha lebih bermakna kepada mereka yang memerlukan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di 35 negara lain yang merupakan sebahagian daripada inisiatif “Korban Perdana dengan IKHLAS” ini,” katanya.
Mahsuri adalah jenama sos buatan Malaysia diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan boleh didapati di negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. Daripada hanya satu sos pada peringkat awal, kini Mahsuri menawarkan tujuh jenis perisa. — Bernama