
JULAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin telah merasmikan majlis pecah tanah projek naik taraf simpang jalan balak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jambu semalam.
Katanya, projek tersebut merupakan projek yang turut mendapat peruntukan daripada kerajaan Sarawak bagi menaik taraf bekas jalan balak selepas projek naik taraf jalan ke Rumah Lugum, Nanga Taba yang telah pun dimulakan sejak tahun lepas.

“Semalam saya berkesempatan bersama-sama dengan penduduk dari kawasan Rantau Limau dan Bukit Seri bagi melakukan upacara pecah tanah projek naik taraf simpang jalan balak ke SK Nanga Jambu, Julau.
“Saya menekankan kepada pihak kontraktor yang telah dilantik agar dapat komited seterusnya menyiapkan projek ini sebaiknya dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Katanya, selesai upacara pecah tanah tersebut, beliau bersama rombongan bergerak ke Rumah Felix Jalin, Bukit Seri untuk sesi dialog.

“Seterusnya upacara simbolik penyerahan cek replika untuk 29 penuntut tanah yang akan menerima pampasan untuk projek naik taraf jalan balak ke SK Nanga Jambu.
“Saya juga diberi peluang bagi mengetuai upacara Ngiling Bidai Rumah Felix Jalin sebagai tanda penutupan perayaan Gawai,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Julau, Minggu Jampong; Jurutera Bahagian Sarikei, Ir. Ts. Kennedy Kedo dan Pegawai Penguasa Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal.
Oleh Earl Anek