Lelaki cedera kaki tersepit dalam kemalangan kendiri

Facebook
WhatsApp
OPERASI MENYELAMAT….Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa kemalangan di Jalan Tulai, di sini, pagi tadi.
-Foto BBP Bintangor 
 

BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami detik cemas apabila kaki kirinya tersepit selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Tulai, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.06 pagi.

“Sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Haron Jenai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat ke atas mangsa yang tersepit di bahagian kaki dalam kenderaan berat tersebut.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba turut melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan kawasan kemalangan selamat,” tambahnya.

Oleh Earl Anek