
SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, meneruskan komitmen turun padang dengan menghadiri majlis penyerahan tangki air di dua kampung iaitu Kampung Terasi Iban dan Kampung Tanjong Kelaso.
Program ini merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, khususnya dalam aspek kemudahan asas bekalan air bersih yang menjadi keperluan utama rakyat.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 43 tangki air telah diserahkan kepada penduduk yang layak yang mana 31 tangki air diagih kepada Kampung Terasi Iban manakala 12 tangki air diserahkan kepada Kampung Tanjong Kelaso.
Menurut Awla, penyediaan tangki air ini amat penting lebih-lebih lagi ketika musim kemarau atau berlaku gangguan bekalan air yang tidak dapat dielakkan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
“Semoga kemudahan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi memastikan akses kepada air bersih sentiasa terjamin,” katanya.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menjayakan agenda pembangunan menyeluruh serta meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Turut hadir Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.- UKAS