
LIMBANG: Seramai empat peserta daripada Rumpun Silat Sarawak Wilayah Limbang berjaya menamatkan kursus Wasit Juri Peraturan Baharu Kebangsaan Peringkat Negeri Tahap 3 yang berlangsung di Kampung Sukan, Miri, Ahad lepas.
Daripada jumlah tersebut, tiga peserta merupakan wakil dari Perguruan Silat Tiga Serangkai, manakala seorang lagi mewakili Perguruan Silat Pasak Pupohan. Kedua-dua perguruan ini aktif dalam usaha memartabatkan seni persilatan di kawasan utara Sarawak.
Menurut kenyataan Rumpun Silat Sarawak Wilayah Limbang yang dikongsikan di laman rasmi mereka, kursus ini bertujuan memperkasakan barisan wasit dan juri selaras dengan pelaksanaan peraturan baharu dalam pertandingan silat kebangsaan.
“Penganjuran kursus di peringkat negeri ini juga menjadi platform penting dalam melahirkan wasit dan juri yang berwibawa serta bertauliah menjelang kejohanan-kejohanan akan datang,” menurut kenyataan tersebut.
Oleh Adeng Edrus