
Florian Wirtz berpindah dari Bayer Leverkusen ke Liverpool dengan bayaran permulaan RM572 juta. – Foto premierleague.com
LIVERPOOL, England: Liverpool melengkapkan perpindahan mega pemain tengah Jerman, Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen awal pagi tadi dalam satu perjanjian yang dilaporkan boleh menjadi perpindahan paling mahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dilaporkan di England, juara EPL itu membayar £100 juta (RM572 juta) sebagai bayaran permulaan bagi mendapatkan khidmat Wirtz, sekali gus melepasi rekod perbelanjaan terdahulu mereka.
Tambahan sebanyak £16 juta (RM91.5 juta) berdasarkan prestasi akan menjadikannya perpindahan rekod dalam bola sepak Britain.
Namun, laporan di Jerman menyatakan yuran sebenar mungkin lebih tinggi, bermula dengan 130 juta euro (RM637 juta) dan boleh meningkat kepada 150 juta euro (RM735 juta) dengan tambahan lain.
Salah seorang bintang muda elit bola sepak Eropah, Wirtz pernah dipuji sebagai antara yang “terbaik di dunia” oleh bekas jurulatih Leverkusen dan juga bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso, yang kini menjadi pengurus Real Madrid.
“Saya amat teruja untuk memulakan satu perjalanan baharu. Ini adalah antara faktor utama dalam keputusan saya. Saya mahu sesuatu yang benar-benar baharu, untuk keluar dari Bundesliga dan menyertai Liga Perdana,” kata Wirtz di laman sesawang rasmi kelab.
“Akhirnya, kami mahu berjaya. Musim lalu mereka menjuarai Liga Perdana, jadi sasaran saya sudah tentu mahu memenanginya lagi dan juga pergi lebih jauh dalam Liga Juara-Juara. Saya bercita-cita besar.”
Pemain berusia 22 tahun itu memainkan peranan penting ketika musim terbaik dalam sejarah Leverkusen, apabila mereka memenangi kejuaraan Bundesliga kali pertama dan Piala Jerman 2023-24, tanpa kalah satu perlawanan domestik di bawah kendalian Alonso.
Satu-satunya kekalahan mereka musim itu, ketika Wirtz dinobat sebagai pemain terbaik Bundesliga, adalah pada final Liga Europa kepada Atalanta, yang menggagalkan impian mereka untuk mencipta treble bersejarah.
Bayern Munich kembali menguasai bola sepak Jerman musim lalu, dengan Leverkusen di tangga kedua dan Wirtz kini menjadi sebahagian daripada penghijrahan keluar dari BayArena.
Pertahanan Belanda, Jeremie Frimpong sudah menyertai Liverpool bulan lalu dari Leverkusen.
Selepas agak berhati-hati dalam pasaran perpindahan ketika musim pertama Arne Slot sebagai pengurus, Liverpool kini berbelanja besar untuk mengukuhkan pasukan yang menyamai rekod kejuaraan Liga Inggeris ke-20 mereka.
Pemain pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez juga dijangka menyertai Liverpool dalam satu perjanjian bernilai £40 juta (RM228 juta).
Liverpool juga dikaitkan dengan penyerang Newcastle, Alexander Isak dan pertahanan tengah Crystal Palace, Marc Guehi. – AFP