
SINGAPURA: Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) Singapura pada Khamis mengesahkan dua kes jangkitan Zika tempatan di kawasan Woodlands Street 11 dan Street 32.
Dalam satu hantaran di Facebook, NEA memaklumkan pihaknya memulakan pemantauan air sisa dan nyamuk di kawasan kediaman sekitar berikutan pengesanan kes berkenaan.
“Pemantauan yang dipertingkat ini menunjukkan isyarat berterusan kehadiran virus Zika di kawasan itu, menandakan kemungkinan berlakunya penularan tempatan,” menurut hantaran itu.
NEA menasihati penduduk, terutamanya wanita hamil supaya melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan memantau tahap kesihatan dengan rapi.
“Mereka yang mengalami simptom yang menyerupai jangkitan Zika
digalakkan mendapatkan rawatan awal untuk diagnosis dan pengurusan sewajarnya,” menurut NEA.
Dalam kenyataan berasingan, CDA memaklumkan bahawa simptom jangkitan Zika termasuk ruam, demam, sakit sendi, sakit otot, sakit kepala dan konjunktivitis.
Jangkitan semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran tertentu pada janin, termasuk komplikasi neurologi dan mikrosefali, iaitu keadaan apabila kepala bayi lebih kecil daripada saiz sepatutnya, menurut CDA.– Bernama