
BINTANGOR: Seorang pemandu lori berusia 48 tahun mengalami kecederaan di bahagian pinggang selepas tersekat dalam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tulai, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata kejadian membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta jenis Toyota Fortuner.
“Pasukan bomba yang diketuai oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin, dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.57 petang,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersekat di dalam lori tersebut.
“Kemalangan berlaku di laluan yang sama menuju ke Sibu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan di lokasi.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 3.35 petang,” ujarnya.
Oleh Earl Anek