KUCHING: Pihak polis telah mengenakan kompaun kepada 110 individu di seluruh Sarawak kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh 24 jam bermula 8.00 pagi Ahad sehingga 8.00 pagi semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 22 orang, diikuti Sibu (20), Sarikei (11), Kota Samarahan (9), Betong (9), Miri (7), Bau (6), Padawan (5), Kapit (4), Simunjan (3), Bintulu (2), Serian (2), Matu Daro (2), Song (2), Marudi (2), Kanowit (2) dan Lawas (2).
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan orang yang dikenakan kompaun di Sarawak sejak 18 Mac adalah seramai 374 orang.
“Mereka yang dikompaun RM1,000 perlu membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan bagi mengelakkan tindakan selanjutnya diambil ke atas mereka,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Dev, terdapat 13 tangkapan telah dibuat juga dalam tempoh yang sama semalam kerana ingkar PKP.
Jelasnya, Mukah merekodkan jumlah paling ramai iaitu tiga orang, diikuti Limbang (2), Sri Aman (2) manakala Kuching, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bau dan Matu Daro masing-masing satu tangkapan.
Tambahnya, tangkapan-tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sejak 18 Mac adalah seramai 586 orang.