
YAOUNDE: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh manakala 16 lagi cedera susulan beberapa insiden keganasan di Chad, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi negara itu, keganasan berlaku antara 10 hingga 14 Jun di kawasan Molou, wilayah Ouaddai di timur Chad.
Kenyataan tidak menyatakan punca kejadian, namun media tempatan melaporkan konflik melibatkan dua puak yang bertelagah.
Awal pagi Isnin, empat pegawai kanan kerajaan melakukan lawatan ke Abeche, Ouaddai bagi menilai skala konflik serta memulihkan ketenteraman dan keselamatan.
Beberapa jam sebelum lawatan itu, sekumpulan senator dari wilayah berkenaan mengeluarkan kenyataan mengecam insiden yang mengorbankan 20 nyawa dan mencederakan 16 yang lain.
Keganasan antara puak lazimnya berpunca daripada pertikaian tanah dan perbezaan fahaman politik.– Bernama-Xinhua