
KUCHING: Suasana di Padang Merdeka pagi tadi cukup meriah sempena program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching Edisi Gawai 2025, berjaya menarik penyertaan ramai warga kota.
Program tersebut dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, dan dianjurkan bagi memupuk gaya hidup sihat, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya ruang bandar yang lebih mesra alam.


PROGRAM 10,000 Langkah Berinformasi anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Antara acara yang mencuri tumpuan, 10,000 Langkah Berinformasianjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, yang disertai lebih 1,000 peserta sebagai tanda sokongan kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
“Program ini sangat bermanfaat. Sambil bersenam, kami juga dapat belajar tentang bahaya dadah dan pentingnya komuniti bebas dari pengaruh negatif,” kata Nurrabiatul salah seorang peserta.


KAYUHAN Alam Sekitar anjuran DBKU bersempena dengan Hari Alam Sekitar.
Dalam masa yang sama, lebih 300 peserta turut menyertai Kayuhan Alam Sekitar anjuran DBKU bersempena Hari Alam Sekitar.
Acara itu bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan alternatif yang lebih hijau serta mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam.
“Saya rasa seronok dapat berbasikal bersama keluarga sambil menyokong mesej penjagaan alam sekitar. Harap program macam ini boleh diadakan lebih kerap,” ujar Abdullah Samsudin, peserta kayuhan yang datang bersama anaknya.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat komuniti dan budaya sihat, malah mengukuhkan kesedaran awam terhadap isu penting seperti penyalahgunaan dadah dan pemeliharaan alam sekitar dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Oleh Masrin Affirah