
MIRI: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo KM823.2 Miri-Bintulu di kawasan Suai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Asisiten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia 32 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kejadian yang berlaku sekitar 2.00 petang.
“Mangsa dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke Bintulu dan ketika sampai di kawasan Suai kereta yang dipandu telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan dan telah masuk ke dalam kawasan semak.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, pagi tadi.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Liong Chai Ling