KUALA LUMPUR: Moratorium bersasar memberi peluang kepada bank untuk bergerak ke hadapan dalam kedudukan lebih baik walaupun sukar untuk mengukur kecukupan peruntukan pinjaman atau keperluan kerugian kredit yang dijangka lebih tinggi pada masa ini, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.
“Kami yakin langkah ini akan membantu menjaga kualiti aset dalam masa terdekat, kebolehlihatannya kekal suram, sukar untuk mengukur kecukupan peruntukan pinjaman pada waktu ini.
“Kami juga tidak menolak kemungkinan pinjaman ini dijangka memerlukan rizab jangkaan kerugian kredit yang lebih tinggi, menyebabkan risiko peningkatan kepada panduan kos kredit bagi tahun kewangan 2020,” kata Ketua Penasihat Kewangannya, David Chong dalam nota penyelidikan bertajuk ‘Bantuan bersasar kepada peminjam yang terjejas’ semalam.
Secara keseluruhannya, ia berkata, pengumuman yang dibuat semalam tidak mengubah tesis pelaburan bank itu bagi sektor berkenaan dan penarafan ‘neutral’ sektor itu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan bank akan terus membantu peminjam selepas 30 Sep 2020, namun, dengan pendekatan lebih fokus dan kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terus terjejas akibat pandemik Covid-19.
Malah, Public Investment Bank turut memberikan saranan ‘neutral’ kepada sektor itu dan menurutnya ia terus memberi kecenderungan positif berikutan penilaiannya yang ketinggalan berbanding pasaran lebih luas.
Bank akan berdepan cabaran yang sukar pada tahun ini dan kemungkinan pada separuh pertama 2021 akibat impak pengurangan kadar faedah dan kemerosotan kualiti aset, katanya.
“Kami menjangka kedudukan kadar faedah semasa yang rendah akan merangsang pengembangan kredit untuk beberapa bulan akan datang berikutan pemulihan ekonomi secara berperingkat seperti pada 2009/2010.
“Pemulihan juga memberikan petanda baik terhadap keupayaan pembayaran semula dan dengan lanjutan, kualiti aset dan turut menjurus kepada normalisasi kadar faedah dan pengembangan margin,” katanya.
Pelaksanaan moratorium pada peringkat awal adalah menyeluruh (dan serta merta) yang melibatkan semua individu dan PKS dan menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, ia menjejaskan sektor perbankan kira-kira RM6.4 bilion.
“Walaupun kita tidak pasti jumlah gaji yang mereka yang dipotong dalam tempoh tertentu, pertambahan bilangan penganggur setakat Mei 2020 hanya berjumlah 318,000 mengikut data Jabatan Perangkaan,” katanya.
Setakat 20 Julai, pinjaman tertangguh/pembayaran semula pembiayaan di bawah moratorium itu, dianggarkan mencecah RM59 bilion yang memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat Malaysia dengan 93 peratus daripadanya ialah peminjam individu.
AmInvestment Bank Bhd yakin bantuan bersasar itu akan mengurangkan pendapatan bank secara siginifikan berbanding kerugian pengubahsuaian pada suku pertama 2020 berbanding moratorium pinjaman serta merta yang dilaksanakan sebelum ini. – Bernama