
Polis melakukan siasatan di lokasi dua warga Australia yang ditembak di perkampungan Munggu, Bali. Foto AFP.
JAKARTA: Seorang lelaki warga Australia maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden tembakan di Pulau Bali, Indonesia sejurus selepas tengah malam Sabtu, lapor Reuters memetik kenyataan polis tempatan kepada media.
Jurucakap polis Bali, Ariasandy, dipetik oleh laman Detik.com sebagai berkata bahawa pihak polis kini memburu dua individu disyaki terlibat dalam kejadian yang berlaku di sebuah vila di wilayah Badung, di selatan pulau pelancongan itu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Zivan R, 32, manakala Sanar G, 35, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital, menurut laporan itu.
Saksi kejadian memaklumkan bahawa dua suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki dua motosikal.
Ariasandy berkata kedua-dua suspek didengar bertutur dalam bahasa Inggeris dengan loghat Australia. – Bernama-Reuters.