
KUCHING: Sarawak kini mengatasi Sabah sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini dan pencapaian ini terus diperkukuh melalui pembangunan sektor hiliran yang berimpak tinggi, termasuk inisiatif penukaran sisa kepada tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah seterusnya adalah memastikan hasil sawit diproses secara hiliran bagi menghasilkan produk nilai tambah seperti biojisim, biominyak, baja serta makanan ternakan.
“Kini kita mungkin merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di mana telah mengatasi Sabah maka kita tidak seharusnya hanya mengeksport minyak kelapa sawit sahaja.
“Sebaliknya, kita mesti melibatkan diri dalam aktiviti hiliran yang lebih luas berkaitan industri sawit kerana saya sudah mencuba dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Lubok Antu dua tahun lepas di mana kita memecahkan biji sawit bagi menghasilkan biojisim serta biofuel.
“Bahagian biojisim ini pula boleh digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan. Makanan ternakan ini bermaksud kita boleh menternak haiwan tanpa menggunakan kaedah ragut terbuka, tetapi menggunakan sistem feedlot.
“Dengan kata lain, di ladang kelapa sawit kita, atau ladang kecil milik pekebun tanah adat bumiputera (NCR) sekalipun, mereka boleh menanam sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) malam ini.
Premier Sarawak turut menekankan potensi Sarawak dalam menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), biogas dan hidrogen daripada biofuel, selaras dengan agenda tenaga bersih dan mampan negeri.
Hal ini terutamanya terus memfokuskan kepada merealisasikan konsep penukaran sisa kepada tenaga.
“Saya pernah sebutkan di Kuala Lumpur semasa forum ASEAN bahawa pendekatan Sarawak kini adalah terhadap sisa bukan untuk membazirkan sisa tetapi memanfaatkan sisa tersebut dan inilah pendekatan kita dalam industri minyak sawit,” jelasnya.
-UKAS