
MIRI: Penganjuran Karnival Gawai Tradisi 2025 menjadi platform utama dalam memartabatkan warisan budaya Sarawak.
Karnival ini memaparkan pelbagai aktiviti berunsurkan tradisi seperti pameran adat, pakaian tradisional, tarian ngajat, makanan etnik, dan permainan rakyat yang semakin dilupakan, sekali gus menghidupkan dan memperkukuh identiti budaya masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Gawai Peringkat Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menegaskan bahawa karnival ini bukan sahaja mempromosikan pelancongan budaya, tetapi lebih penting lagi, ia menjadi medium untuk memartabatkan dan mengekalkan warisan budaya Sarawak agar tidak pudar ditelan zaman.
“Karnival ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan rakyat kerana ia menyatukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.
“Melalui aktiviti-aktiviti tradisional yang dipertontonkan, kita bukan sahaja meraikan musim menuai tetapi turut memperkukuh nilai budaya dan identiti masyarakat Dayak serta masyarakat majmuk di Sarawak.
Saya berasa amat berbesar hati dan bangga dapat bersama komuniti pelbagai kaum dan etnik dalam usaha memelihara dan memartabatkan budaya warisan kita yang menjadi kebanggaan generasi kini dan akan datang,” katanya.
Uggah berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Karnival Gawai Tradisi 2025 di Pusat Budaya Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di sini, hari ini.
Karnival ini menawarkan pelbagai acara yang dirancang khusus untuk memupuk nilai kebudayaan dalam kalangan generasi muda, antaranya Pertandingan Permainan Tradisional daripada pelbagai etnik di Sarawak, Pertandingan Datun Julut dan Sape, serta acara kemuncak Miss Gawai Sarawak.
Sebanyak 13 jenis permainan tradisional dipertandingkan sepanjang karnival.
Ini termasuk Menyumpit (MYSED), Menebar Jala Atas Kelapa (Kayan), Tarik Tali (Kenyah), Batak Lampung (Iban), Melontar Batu (Kelabit), Sikon (Bidayuh), Madiep Dueng Pew dan Nkai Rak (Saban), Menganyam Tikar dan Menyulam Manik (Lakiput dan Berawan), Menampi Beras dan Membelah Kayu Api (Lun Bawang), Tarik Papa Piasau (Bisaya), dan Selekit (Petipun).
Karnival ini berlangsung selama dua hari bermula semalam di Pusat Budaya FORUM.
Oleh Liong Chai Ling