
SIBU: Pasukan hebat sepak takraw dari sekitar Sibu dipelawa menyertai Pertandingan Sepak Takraw Piala KESIJA 2025 yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Julai 2025 di Dewan Kampung Bandung.
Pertandingan dua hari itu dianjurkan oleh Kelab Sepak Takraw Sibu Jaya (KESIJA) dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Menurut kenyataan KESIJA, kejohanan ini terbuka kepada penyertaan pasukan dari Sibu dan kawasan sekitar dengan yuran sebanyak RM60 setiap pasukan.
“Selain mengangkat martabat sukan tradisional di peringkat akar umbi, pertandingan ini juga bertujuan memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sihat,” menurut kenyataan itu.
Hadiah menarik menanti para pemenang, johan bakal membawa pulang RM500 berserta piala dan medal. Naib johan akan menerima RM300, manakala dua pasukan tempat ketiga masing-masing akan membawa pulang RM150, turut disertakan piala dan medal.
Tarikh akhir penyertaan ditetapkan pada 3 Julai 2025, dan cabutan undian akan diadakan pada hari yang sama di Gelanggang Sepak Takraw Sibu Jaya, bermula 6.00 petang. Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Hassan Abdul Hamid di talian 014-8944785 atau Hussein Abdul Hamid (014-5992369).