Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • UTM pasukan pertama negara yang berjaya mara ke peringkat akhir IREC 2025
  • PENDIDIKAN

UTM pasukan pertama negara yang berjaya mara ke peringkat akhir IREC 2025

Utusan Sarawak 2 days ago
Foto facebook UTM

JOHOR BAHRU:  Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan roket buatan sendiri ‘RIMAU-1’, dalam pertandingan bertaraf antarabangsa International Rocket Engineering Competition (IREC) 2025 yang sedang berlangsung di Midland, Texas, Amerika Syarikat.

UTM dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu menjadikan UTM sebagai pasukan pertama Malaysia yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan berprestij anjuran ‘Tripoli Rocketry Association’ yang berlangsung selama enam hari sehingga 14 Jun ini, sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

UTM berkata pasukan dikenali sebagai ‘UTM Rocketry Team’ itu diketuai pelajar tahun akhir dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal T.K.Arykummara bersama barisan utama yang terdiri daripada Brenden Huang Hong Quan, K Raahull, Izzat Idlan Amir Raslan dan S N Shivee Prakkaash, yang mewakili gabungan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

“Menariknya pasukan ini turut menghasilkan sendiri sistem payung terjun roket sebagai langkah keselamatan, selain menggunakan ‘ammonium perchlorate’ sebagai sistem pendorong utama bagi mencapai ketinggian sasaran setinggi 3,000 meter di ruang udara Texas.

“Selain itu kos keseluruhan pembinaan Rimau-1 dianggarkan sebanyak RM40,000, manakala kos penuh termasuk perjalanan dan logistik mencecah RM200,000, dan projek ini turut mendapat sokongan serta bantuan kewangan daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEPA), UTM International (UTMI) dan beberapa sumber lain, ” menurut kenyataan itu. 

Arykummara dalam kenyataan sama berkata roket dinamakan RIMAU-1 setinggi 2.8 meter dan seberat 28 kilogram itu dibina menggunakan bahan gentian kaca serta karbon dan dijangka mampu mencapai ketinggian maksimum sehingga 3,000 meter, selaras dengan syarat ketinggian yang ditetapkan oleh penganjur.

Beliau berkata proses pembinaan roket bukan sekadar penggabungan komponen, tetapi melibatkan penyelidikan intensif, pengujian berulang, serta ketelitian dalam setiap aspek teknikal dan keselamatan.

“Roket buatan tangan ini dibangunkan selama lebih sembilan bulan, secara keseluruhannya hasil kerja berpasukan yang terdiri daripada 40 orang merangkumi pelbagai disiplin teknikal. Projek itu mula diuji secara awal pada Januari lepas dan hanya diusahakan secara serius bermula Mac, dengan tempoh pembinaan intensif selama dua bulan. 

“Penyertaan ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi lambang semangat inovasi, daya juang dan kerjasama pasukan kami yang membawa semangat Malaysia ke pentas antarabangsa,” kata Arykummara.

Sementara itu Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keupayaan pelajar UTM bersaing di peringkat global dan menyerlahkan kualiti pendidikan tinggi negara.

“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini dan berharap ia menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk terus berani mencabar diri dan berinovasi dalam bidang teknologi dan sains angkasa,” katanya.

Pasukan UTM Rocketry kini menanti keputusan akhir  bersama semangat dan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi antara yang terbaik dalam pertandingan ini.

IREC 2025 menghimpunkan lebih 7,000 pelajar daripada 172 institusi pengajian tinggi seluruh dunia, dengan hanya 176 pasukan terpilih untuk bertanding di peringkat akhir. Kehadiran pasukan UTM secara rasmi meletakkan Malaysia setaraf dengan universiti ternama lain dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.– Bernama

Continue Reading

Previous: KPM ambil serius kewujudan halaman pedofilia
Next: Rebut peluang pendidikan percuma bermula tahun hadapan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.