LUNDU: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan berjumlah RM2 juta kepada Jawatankuasa Pertanian N3 Tanjong Datu untuk membantu rakyat menambah pengetahuan dan menambah pendapatan melalui bidang pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) N3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, peruntukan itu membuktikan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membantu rakyat di N3 Tanjong Datu.
“Kerana itu untuk kursus hari ini saya meminta mereka memilih mereka yang benar-benar berminat untuk mengusahakan pertanian sendiri dan membantu mereka meningkatkan taraf hidup melalui pertanian. Ia bukan kursus yang boleh dipandang ringan kerana ia memerlukan kos yang besar untuk dilaksanakan,” katanya.
Jamilah berkata demikian ketika menghadiri Community Extension Outreach Programme (CEOP) Anjuran Jabatan Pertanian Daerah Lundu yang diadakan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu semalam.
Justeru itu Jamilah menasihati peserta kursus harus mengambil peluang ini dengan sebaiknya.
“Lebih lagi sekarang bidang pertanian telah melalui proses transformasi dimana banyak cara baru digunakan untuk pengeluaran hasil maksimum seperti pertanian secara fartigasi dan hidroponik dengan cara yang lebih mudah dan dapat dilakukan secara sambilan serta dapat meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Beliau juga sempat melawat projek pertanian fartigasi seorang peserta kursus di Kampung Sileng Dayak Lundu sebelum program bermula.
Hadir sama, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Haji Helmi Hazemi. Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Pegawai Pertanian Bahagian Kuching, Chong Mui Sia. Musat Senada, Pegawai Menguasa Pertanian Daerah Lundu dan Ketua-Ketua Kaum Dan Masyarakat Daerah Lundu.
Oleh Diyana Samsuddin