
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan hadapan Central View Hotel termasuk laluan menuju ke Taman Lee Hua di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan BDA, tindakan tersebut diambil susulan aduan awam berhubung masalah pembuangan sampah secara sembarangan yang menjejaskan kebersihan dan mencacatkan pemandangan kawasan terbabit.
“Kami kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata.
“Ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga menjejaskan kebersihan dan keselesaan awam,” katanya.

Sehubungan itu, BDA menegaskan bahawa membuang sampah secara sembarangan adalah satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pelaku yang ingkar.
“Marilah kita sama-sama memelihara kebersihan kawasan Bintulu demi kesejahteraan bersama.
“Jika anda menyaksikan perbuatan membuang sampah secara haram, sila laporkan kepada BDA untuk tindakan lanjut,” ujar kenyataan itu.
Oleh Carolyne Utih