Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KEMALANGAN
  • ‘Lewat tiba 15 minit, Nur Adilah terselamat dalam tragedi bas maut’ – Ibu
  • KEMALANGAN

‘Lewat tiba 15 minit, Nur Adilah terselamat dalam tragedi bas maut’ – Ibu

Utusan Sarawak 7 hours ago

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin ketika melawat kawasan kejadian kemalangan maut melibatkan 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, hari ini. Foto Bernama.

KOTA BHARU: Kesesakan lalu lintas menyebabkan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlepas daripada menaiki bas yang akhirnya terbabit kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga mengorbankan 15 nyawa awal pagi tadi.

“Lewat 15 minit itu rupa-rupanya memisahkan anak saya dengan maut,” kata Rosyidah Husien, 50, ibu kepada Nur Adilah Mohd Rusdi, 20.

Rosyidah berkata, Nur Adilah yang juga anak kelima daripada tujuh beradik, sepatutnya menaiki bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI itu dari Masjid Hadhari, Jertih pada jam 9 malam tadi.

Wanita itu berkata, kereta dipandu suaminya, Mohd Rusdi Ramli, 55, untuk menghantar anak mereka, hanya tiba di lokasi berkenaan selepas bas bergerak.

“Apabila dihubungi, pemandu memaklumkan bas akan berhenti di Machang, namun suami enggan menghantar hingga ke Machang kerana jaraknya agak jauh. 

“Akhirnya, anak saya menumpang bapa saudaranya, Mohd Nizam Husien yang kebetulan turut bertolak ke Kuala Lumpur malam tadi,” katanya.

Rosyidah berkata, anaknya bertolak dari rumah mereka di Kampung Gong Bayor, Besut sekitar jam 12 tengah malam bersama bapa saudaranya.

Beliau berkata, anaknya cuba menghubungi rakan yang menaiki bas itu pada kira-kira jam 1 pagi, namun tiada jawapan, sebelum seorang rakan menghubunginya pada jam 2 pagi memaklumkan bas itu terbabit kemalangan

“Lebih mengejutkan, polis turut menghubungi anak saya dan memaklumkan namanya tersenarai sebagai seorang daripada penumpang bas itu.

“Sebenarnya tempat duduk yang sepatutnya diduduki anak saya bernombor sembilan, tetapi malam tadi ia diduduki rakannya,” katanya.

Rosyidah bersyukur, anaknya selamat, namun sehingga kini anaknya masih trauma dan enggan ditemu bual.

Beliau berkata, sebelum bertolak malam tadi, Nur Adilah berbual dengan neneknya dan mengucapkan selamat tinggal, sambil menyatakan rasa bimbang jika berlaku kemalangan.

“Saya sempat menegur dia kerana berkata begitu, tetapi dia hanya tersenyum. Siapa sangka kata-katanya itu hampir jadi kenyataan, saya bersyukur kerana takdir menyelamatkannya malam tadi,” katanya.

Rosyidah berkata, selain Nur Adilah, seorang lagi rakan anaknya turut terselamat kerana tidak menaiki bas itu selepas dimasukkan ke Hospital Besut akibat demam.– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Warga emas hilang menjala ikan di Sungai Batang Kayan
Next: “Saya lihat tubuh rakan-rakan terbaring bergelimpangan, ada antara mereka sudah tidak bernyawa,” – mangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.