

ALHAMDULILLAH, kita diizinkan untuk menyambut Aidiladha pada tahun ini. Hari kebesaran ini dikenali juga sebagai Hari Raya Haji yang merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam sedunia mengikut kiraan bulan Islam di tempat masing-masing.
Pada masa ini juga, tetamu Allah SWT dianggarkan mencecah hampir dua juta umat Islam dari lebih 183 negara yang akan mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima iaitu ibadah haji.
Aidiladha turut dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban yang dilakukan adalah bagi sempena memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS kerana taat kepada perintah Allah SWT.
Namun, berkat keyakinan, kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah SWT telah menggantikannya dengan seekor binatang kibas ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.
Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah SWT dan usaha berterusan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para anbiya sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW.
Oleh sebab itu, setiap kali tibanya musim Aidiladha, kita sering mendengar perkataan korban. Tetapi apakah sebenarnya maksud korban dalam kehidupan kita seharian?
Korban bukan sekadar penyembelihan haiwan. Ia adalah simbolik kepada semangat berkorban dalam seluruh aspek kehidupan seorang Muslim. Sebagai usaha menanam nilai korban dalam kehidupan seharian kita, marilah kita fahami maksud korban secara akronim dalam bentuk mudah:
K – Kita Mengaku Islam, Maka Perlu Berkorban
Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, bermakna kita berjanji untuk taat kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Ini menuntut pengorbanan dalam bentuk masa, tenaga, harta dan kehendak diri demi menjaga iman dan menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Islam.
Islam bukan hanya pengakuan di lidah, tetapi mesti dibuktikan dengan tindakan dan kesanggupan untuk berkorban demi agama.
Berkorban demi agama adalah bukti cinta dan taat kepada Allah SWT. Ia menunjukkan bahawa Islam bukan hanya pada nama, tetapi juga pada perbuatan umatnya.
Setiap pengorbanan yang ikhlas kerana Allah SWT, walaupun kecil, pasti akan dibalas dengan ganjaran besar di dunia dan akhirat.
O – Orang Sekeliling Juga Harus Berkorban Bersama
Pengorbanan tidak seharusnya dipikul oleh seorang sahaja. Dalam masyarakat, kejayaan dan kebaikan akan lebih mudah dicapai jika semua pihak bersama-sama sanggup berkorban demi kebaikan bersama.
Bila semua sanggup memberi dan bertolak ansur, barulah tercipta suasana yang harmoni dan saling menyokong.
Kehidupan tidak boleh dijalani secara bersendirian. Pengorbanan yang dilakukan secara bersama seperti dalam keluarga, masyarakat dan organisasi akan menjadi usaha kita lebih kuat dan hasilnya lebih berkat.
Contohnya, apabila semua ahli keluarga saling membantu dan bertolak ansur, rumah tangga akan lebih harmoni.
Apabila orang sekeliling kita turut berkorban bersama, ia mencipta kekuatan, perpaduan dan kejayaan yang lebih besar.
Islam mengajar kita untuk hidup dalam berjemaah iaitu untuk saling membantu dan saling berkorban demi manfaat semua.
R – Rasakan Setiap Usaha Itu Sebagai Pengorbanan
Kadangkala, kita rasa usaha kita kecil. Tapi di sisi Allah SWT, tiada usaha yang sia-sia. Setiap kali kita bersabar, menolong orang lain atau mengelak daripada perkara yang haram, semuanya adalah bentuk pengorbanan yang dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Apa sahaja yang memerlukan kita meninggalkan keselesaan, melawan nafsu atau bersabar menghadapi cabaran demi melakukan kebaikan, itulah pengorbanan.
Jangan pandang rendah usaha sendiri hanya kerana ia nampak kecil di mata manusia. Ringkasnya, setiap usaha yang membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT adalah pengorbanan yang sangat berharga.
Bila kita belajar menghargai usaha kecil sebagai pengorbanan, hati akan lebih ikhlas dan hidup akan lebih bermakna.
B – Buat Baik, Ia Mendekatkan Diri kepada Pengorbanan
Melakukan kebaikan bukan sekadar perbuatan mulia, tetapi juga satu bentuk pengorbanan. Ini kerana setiap kebaikan biasanya menuntut kita untuk melepaskan sesuatu yang kita perlu dalam kehidupan sama ada masa, tenaga, harta, ego atau keselesaan diri.
Setiap kali kita memilih untuk berbuat baik, kita sedang berkorban. Kita sedang mendidik hati untuk tidak mementingkan diri sendiri dan meletakkan kepentingan orang lain atau agama di hadapan.
Perbuatan baik bukan mudah kerana ia sering menuntut kita untuk berkorban sesuatu seperti masa, wang atau keselesaan.
Jangan risau, setiap kebaikan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT. Pengorbanan dalam kebaikan menjadikan hati lebih lembut dan jiwa lebih tenang.
Setiap kebaikan adalah latihan hati untuk berkorban. Semakin banyak kita berbuat baik, semakin kuat jiwa kita menghadapi cabaran dan semakin dekat kita kepada nilai sebenar pengorbanan yang diajarkan dalam Islam.
A – Amal Ibadah Mengajar Kita Erti Pengorbanan
Dalam Islam, ibadah bukan sekadar rutin harian, tetapi juga pendidikan jiwa. Setiap amal ibadah yang kita lakukan mengandungi unsur pengorbanan kerana ia menuntut kita untuk meninggalkan keselesaan, mengawal nafsu dan meletakkan kehendak Allah SWT mengatasi kehendak diri.
Ibadah mengajar kita untuk memberi, menahan dan menundukkan ego demi mentaati perintah Allah. Melalui ibadah, kita belajar bahawa untuk menjadi hamba yang taat, kita mesti sanggup berkorban.
Lihat sahaja ibadah harian kita seperti solat lima waktu memerlukan kita berhenti daripada kerja dan urusan dunia.
Zakat meminta kita untuk menyerahkan sebahagian harta. Manakala puasa pula mengajar kita untuk menahan nafsu. Semuanya adalah latihan pengorbanan yang mengajar kita untuk tunduk kepada perintah Allah.
Dalam maksud lain, amal ibadah mendidik kita agar rela berkorban demi Allah SWT. Ia membentuk hati yang sabar, jiwa yang reda dan kehidupan yang lebih bermakna. Pengorbanan dalam ibadah adalah bukti cinta dan ketundukan kita kepada Tuhan Yang Maha Agung.
N – Niat Kerana Allah SWT, Itu Asas Pengorbanan
Dalam Islam, niat adalah asas segala amalan. Tanpa niat yang betul, pengorbanan yang besar sekalipun tidak akan diberi nilai di sisi Allah SWT.
Sebaliknya, pengorbanan yang kecil pula akan jadi besar jika dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
Apa sahaja yang kita lakukan sama ada bersedekah, membantu orang lain, menahan marah atau solat malam ia mestilah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Janganlah melakukannya kerana inginkan pujian, populariti atau balasan dunia.
Pengorbanan adalah jiwa seorang Muslim. Ia bukan hanya berlaku ketika Hari Raya Haji sahaja, malah dalam setiap aspek kehidupan. Sama ada sebagai ibu bapa, anak, pekerja, pemimpin atau sahabat. Pengorbanan adalah bukti keikhlasan dan kasih sayang.
Marilah kita menjadikan ‘KORBAN’ bukan sekadar amalan tahunan, tetapi satu nilai hidup yang kekal sepanjang hayat.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Wallahu Alam Bissawab