
PETRA JAYA: Penambahan bilangan ternakan lembu tempatan dikenal pasti sebagai langkah strategik bagi mengawal dan menurunkan harga lembu di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya akan mencari jalan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menggalakkan lebih ramai penternak lembu di wilayah ini.
“Cadangan saya ialah menggalakkan penduduk tempatan untuk memelihara lembu di negeri ini sendiri di mana ini dapat mengurangkan kebergantungan kita terhadap lembu import sekali gus dapat menurunkan harga lembu di Sarawak.
“Saya akan meminta KPKM di peringkat persekutuan untuk mencari kaedah bagaimana kita hendak menggalakkan lebih ramai lagi penternak-penternak lembu di Sarawak termasuk membekalkan baka dan latihan kepada penternak lembu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan agihan daging lembu korban peringkat Parlimen Petra Jaya, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu bahawa antara punca kenaikan harga lembu di Sarawak adalah disebabkan wilayah ini mengimport lembu dari luar negara.
“Saya faham bahawa Sarawak antara negeri paling mahal untuk harga lembu mungkin disebabkan kita mengawal ketat lembu import kita, di mana kita tidak mengimport dari negara yang lembunya terdedah kepada penyakit,” jelasnya lagi.
Berdasarkan senarai harga di laman sesawang kepenggunaan Manamurah.com, harga purata daging lembu di Sarawak iaitu RM64 sekilogram jauh tinggi berbanding negeri lain.
Berhubung dengan program korban, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelaskan bahawa parlimennya telah menerima agihan sebanyak 58 ekor lembu untuk Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
–UKAS