
LIMBANG: Projek pembinaan Jambatan Kedua Sungai Limbang yang sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata projek tersebut merupakan salah satu daripada 16 projek pembinaan jambatan di Sarawak yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.9 bilion, seperti diumumkan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Datuk Amar Douglas Uggah menyatakan bahawa Sarawak sedang membina 16 jambatan, dan beberapa daripadanya telah dirasmikan.
“Bagi jambatan di Limbang ini, ia dijangka siap pada Disember 2025,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Tebingan Sungai Limbang dan Projek Jalan Akses ke Taman Tasik Bukit Mas, hari ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Residen Bahagian Limbang, Unos Tambi, dan Jurutera Bahagian Limbang, Mahathir Jokeni.
Menurut Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, kerja-kerja menaik taraf kawasan tebingan sungai yang runtuh sedang giat dijalankan di bawah Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa Satu, dengan peruntukan sebanyak RM9.5 juta.
“Selain itu, projek pembinaan tanjakan perahu di kawasan sama turut akan dilaksanakan dan dijangka bermula tahun ini,” jelasnya.
Projek tanjakan perahu tersebut, katanya, menelan kos RM5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun hadapan, iaitu sebelum penganjuran semula Pesta Limbang yang dirancang berlangsung pada Julai atau September 2026.
“Kerajaan melalui Jawatankuasa Perayaan Utama Bahagian Limbang berhasrat menghidupkan semula Pesta Limbang tahun depan, dan kita berharap semua projek berkaitan Tebingan Sungai Limbang dapat disiapkan sebelum pertengahan tahun depan,” katanya.
Tambahnya, satu lagi projek penting ialah pembinaan jalan akses baharu ke Taman Tasik Bukit Mas, yang telah diluluskan Premier Sarawak dengan peruntukan RM22 juta.
“Projek ini bertujuan menggantikan jalan sedia ada yang berbahaya dan telah mencatatkan beberapa kejadian kemalangan.
“Peruntukan sudah diluluskan dan projek ini kini berada di peringkat akhir sebelum ditender, dijangka dalam tahun ini juga,” jelasnya.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas perhatian berterusan terhadap pembangunan di Limbang.
Oleh Adeng Edrus