ROBAN: Pendedahan kepada pelajar agar lebih berani berkomunikasi dengan orang awam amat penting kerana mereka memerlukan keyakinan dan penumpuan dalam mengaplikasikan tindakan spontan menjawab pertanyaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, setiap guru harus melihat potensi pelajar masing-masing yang boleh digilap agar mereka tidak gentar apabila berhadapan dengan sesiapa sahaja dalam masyarakat dan memberi semangat kepada mereka terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Menurut beliau, sifat malu yang masih menebal dalam kalangan murid sekolah di luar bandar menyebabkan mereka ketinggalan dalam usaha membentuk personaliti diri dan ini harus dikikis.
“Peranan guru adalah untuk mengubah persepsi diri pelajar dan dedahkan pelajar dengan menggalakkan mereka untuk berkomunikasi dan menyertai aktiviti yang mencambah pemikiran untuk berhubung dengan masyarakat.
“Ajarkan mereka dengan sikap kepimpinan, matang, berkeyakinan dan berketerampilan,” katanya pada Program Lawatan Ke Sekolah dan Penyampaian Baucar Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban, baru-baru ini.
Chee Kadir berkata, guru tidak harus menimbulkan faktor atau situasi negatif dalam penyampaian ketika memberikan pendedahan kepada murid.
“Ciptakan suasana yang ceria dan berikan motivasi yang boleh membina minat untuk murid berkomunikasi secara berpasukan bagi mencipta personaliti diri.
“Pada masa sama, tarik minat pelajar untuk mengubah minda mereka bahawa setiap mata pelajaran yang dipelajari adalah penting,” ujarnya.
Beliau berkata guru harus peka dengan situasi semasa berkaitan perkembangan pendidikan dan harus menekankan daya saing pelajar untuk membentuk kecemerlangan.
“Semaikan budaya berfikir, kreatif dan inovatif dalam diri pelajar. Pada masa sama pupuk semangat dengan merangsang aktiviti budaya bahasa bermula dari kalangan guru dan staf.
Sementara itu, Chee Kadir dalam lawatannya turut memuji persiapan SK Ulu Roban dalam memulakan sesi persekolahan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.
“Tahniah dan syabas atas usaha pihak sekolah dalam persediaan menguruskan sekolah dan kelancaran aktiviti pembukaan sekolah dalam norma baharu.
“Saya melihat ini sebagai usaha gigih guru dan kakitangan yang bekerjasama membantu menyediakan keperluan sehingga tiada masalah untuk meneruskan sesi persekolahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM7,000 kepada SK Ulu Roban.
Oleh Adi Safarman