LINGGA: Fasa I Projek Tebingan Sungai Lingga dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei tahun hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, berkata projek fasa pertama bernilai RM3.9 juta itu melibatkan kerja membina tujuh unit kedai, tandas awam, Terubok Interaktif dan ‘Open Plaza Water Park’.
“Bagaimanapun dari segi penyediaan fizikalnya, projek itu mengalami kelewatan satu peratus iaitu 22 peratus berbanding 23 peratus seperti yang kehendaki dalam jadual.
“Punca kelewatan disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan projek fasa kedua dan ketiganya akan terus dimulakan sebaik sahaja pakej pertama siap,” kata beliau.
Awang Tengah ketika melakukan lawatan ke tapak projek tersebut juga berkata Tebingan Sungai Lingga itu akan mengubah landskap pembangunan kawasan Lingga dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduknya.
Malah kawasan Lingga, katanya, juga akan mengalami proses pembangunan yang lebih pesat apabila Projek Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Kedua selesai dilaksana oleh Kerajaan Sarawak.
“Projek jalan berkenaan dapat menghubungkan penduduk di sini ke Sebuyau. Tambahan lagi, penduduk di Lingga juga sudah mempunyai akses jalan yang lebih baik menuju ke Sri Aman sekarang.
“Justeru diharap agar kesemua projek ini dapat membuka peluang kepada penduduk Lingga untuk berniaga dan mengambil bahagian dalam bidang perusahaan pada masa akan datang,” kata beliau.
Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri, Residen Sri Aman, Indit Bangai dan Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee.
Oleh Valentine Ngumbang