
SIBURAN: Kompleks Penyembelihan Halal Siburan yang dikendalikan oleh PPES Ternak Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), dilihat berpotensi menjadi pemain utama dalam industri pemprosesan daging halal di peringkat serantau.
Menteri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata operasi bersepadu yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada penggemukkan lembu hingga pemprosesan dan pembungkusan produk, memperkukuh daya saing syarikat dalam sektor sekuriti makanan dan eksport produk halal.
“PPES Ternak memiliki fasiliti bertaraf tinggi dan sistem operasi yang menepati piawaian Halal, MESTI dan HACCP.
“Ini meletakkan mereka dalam kedudukan strategik untuk menembusi pasaran luar, terutamanya di Asia Tenggara dan Timur Tengah yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk halal,” katanya dalam sidang media sempena lawatan rasmi ke kompleks tersebut hari ini.
Menurutnya, pendekatan rantaian bekalan bersepadu ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu mengurangkan kebergantungan negeri kepada bekalan daging import dalam jangka panjang.
“Saya mahu produk keluaran Sarawak bukan sahaja mendominasi pasaran tempatan, tetapi turut bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” tegasnya.
Stephen Rundi turut mencadangkan penganjuran karnival khusus sebagai strategi promosi untuk memperkenalkan produk PPES Ternak secara lebih meluas kepada pengguna dan bakal pelabur.
Lawatan tersebut turut melibatkan tinjauan ke beberapa fasiliti utama termasuk kompleks penyembelihan, kilang pemprosesan daging, dan kandang penggemukkan, yang keseluruhannya disokong dengan sistem pensijilan industri makanan yang ketat.
Stephen Rundi turut memberi jaminan bahawa bekalan daging bagi sambutan Aidiladha tahun ini adalah mencukupi, hasil keupayaan pengeluaran syarikat serta perancangan bekalan oleh kerajaan negeri.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak komited untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam membangunkan sektor agromakanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, sejajar dengan agenda memastikan akses berterusan kepada sumber protein yang selamat, mampu milik dan mampan bagi rakyat negeri ini.
Oleh Norman B.