DEBAK: Perlantikan jawatankuasa baharu Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PKSB) dijangka mampu memperkasakan lagi semangat sukarelawan di bahagian Betong.
Pengerusinya, Marini Mohamad Matahar berkata, PKSB mempunyai peranan penting dalam menyuburkan semangat membantu dan menyantuni golongan memerlukan.
“Dengan adanya Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong ini, ia dapat memberi serta menaikkan semangat sukarelawan untuk terus memberi khidmat bakti berunsur kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Perlantikan Baharu Jawatankuasa PKSB di Dewan Lakid, di sini baru-baru ini.
Marini berkata pertubuhan yang ditubuhlan sejak 2018 itu adalah sebagai satu organisasi yang tersusun bagi menangani masalah sosial di segenap peringkat masyarakat.
“Satu mekanisma atau jentera dalam penyampaian perkhidmatan yang terbaik telah kita bentuk, dan pasukan yang berdisiplin dalam menjalankan kerja-kerja sosial yang menjurus kepada perkhidmatan berasaskan kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sasaran kita ialah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan seperti warga emas, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU),” ujar beliau.
Marini berkata setiap ahli sukarelawan itu akan memainkan peranan penting terhadap golongan sasar yang terpilih terutamanya warga emas untuk dijaga atau untuk didekati oleh seseorang ahli sukarelawan terbabit.
“Di bahagian Betong, kita mempunyai seramai 41 sukarelawan yang telah dilantik sebagai pendamping kepada warga emas yang terpilih yang hidupnya sebatang kara atau warga emas yang hidup berseorangan,” jelasnya sambil menambah jumlah ahli sukarelawan JKM Betong kini adalah seramai 180 orang.
Beliau optimis dengan memastikan PKSB di bahagian Betong itu terus bergerak ke hadapan dan lebih memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan sasaran berkenaan.
“Dalam masa sama kita mengalu-alukan dan membuka keahlian baharu kepada anak-anak muda, dan sesiapa yang ingin menjadi ahli baharu PKSB, bolehlah berhubung dengan ahli-ahli di setiap daerah untuk bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat di luar sana,” tambah Marini.
Dalam pada itu, pada majlis pemilihan Jawatankuasa baharu PSKB bagi sesi 2020-2022 sebulat suara memilih Marini Mohamad Matahar sebagai Pengerusi PKSB, Timbalan Pengerusi PKSB, Abang Suhaimi Abang Mohamad, Nur Mardiana Tia (Setiausaha PKSB) dan Wan Hassan Wan Samsudin sebagai Bendahari PKSB.
Oleh Adi Safarman