SIBU: Cukuplah sekadar menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana dan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, pesan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Annuar Rapa’ee.
Menerusi rakaman audio yang disiar pada laman Facebook miliknya Ahad lalu, beliau berkata, masyarakat Muslim harus melupakan hasrat untuk meraikan Hari Raya Aidiladha secara besar-besaran berikutan peningkatan kes Covid-19 pada masa ini.
“Kes semakin meningkat, indeks kebolehjangkitan semakin meningkat. Ini menunjukkan kita sedang menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19.
“Kalau boleh, kita perlu mengambil langkah drastik dalam masa dua atau tiga hari ini, apatah lagi hari Jumaat ini kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Semua ingin merayakan Hari Raya Aidiladha dengan keadaan besar-besaran disebabkan kita tidak dapat merayakan Aidilfitri yang lepas.
“Tetapi saudara sekalian harus melupakan untuk menyambutnya secara besar-besaran. Cukuplah secara sederhana sahaja, cukup dengan melakukan korban secara sederhana,” katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya terus patuh kepada SOP dengan melakukan penjarakan sosial serta menggunakan pelitup muka di kawasan awam dan menjauhi kawasan yang sesak.
Beliau juga menggesa pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang tidak mematuhi SOP.
“Kepada seluruh rakyat Sarawak, kita harus bersatu menghadapi gelombang ini dan kita akan berjaya jika kita bersama-sama bertanggungjawab, baik pihak kerajaan, berkuasa atau masyarakat umum.
“Jika kita tidak dapat menangani gelombang kedua ini, keadaan lebih dasyat akan berlaku, bukan sahaja terhadap jangkitan, tetapi juga terhadap ekonomi negara yang boleh menjejaskan pendapatan masyarakat umum,” katanya.
“Kalau boleh, duduklah di rumah, tidak perlu keluar rumah dalam tempoh dua atau tiga minggu ini jika tidak mempunyai urusan penting,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad