Keruntuhan sistem kesihatan ancam nyawa kanak-kanak di Gaza

Facebook
WhatsApp
KANAK-kanak lelaki Palestin membawa periuk ketika beratur di lokasi agihan makanan panas di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, pada 4 Jun 2025. Foto AFP

RAMALLAH: Keruntuhan sistem kesihatan kini menjadi ancaman serius terhadap nyawa kanak-kanak di Semenanjung Gaza, kata jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Palestin, Kazim Abu Khalaf.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Abu Khalaf dalam sidang media pada Rabu berkata kanak-kanak berdepan cabaran yang amat besar akibat perang yang berterusan, sambil menegaskan bahawa tiada tempat lain di dunia mencatat jumlah kematian kanak-kanak yang begitu tinggi setiap hari.

Beliau memaklumkan bahawa sejak 7 Oktober 2023, purata 27 kanak-kanak terbunuh setiap hari, dan jika termasuk yang cedera, jumlah korban kanak-kanak mencecah purata 83 sehari dalam tempoh 20 bulan.

Abu Khalaf menjelaskan bahawa kanak-kanak merupakan antara golongan paling terkesan akibat kebuluran yang melanda Semenanjung Gaza, dengan puluhan ribu kanak-kanak didaftarkan memerlukan rawatan akibat kekurangan zat makanan akut yang teruk.

Statistik awal, katanya, menunjukkan lebih 40,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu – angka yang dijangka terus meningkat.

Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak di Gaza akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih, bukan sahaja daripada kecederaan fizikal tetapi juga trauma psikologi dan emosi yang amat mendalam.

– Bernama