LINGGA: Sebanyak enam ekor buaya ganas muncul di Sungai Batang Lupar dekat Seduku Ili, malam kelmarin apabila ‘diseru’ oleh seorang pawang buaya.
Pawang buaya dari Kampung Seduku itu menggunakan kebolehannya untuk berinteraksi bersama reptilia pemangsa berkenaan dengan menyoal, buaya yang bertanggungjawab membaham Kong Gindi, 47, pada 24 Julai lalu.
Bagaimanapun, tiada dalam kalangan enam ekor buaya berkenaan dikatakan ‘mengakui’ perbuatan itu sebelum pawang terbabit meminta ‘memaklumkan’ kepada buaya lain supaya berkumpul di satu kawasan di Sungai Seduku Ili dekat Sungai Batang Lupar malam itu.
Enam ekor buaya berkenaan telah ‘mengiringi’ sesama rakan mereka yang lain termasuk buaya yang dipercayai membaham mangsa masuk ke Sungai Seduku sebaik sahaja diseru oleh pawang terbabit.
Bagaimanpun, buaya yang dipercayai telah membaham mangsa itu hanya menampakkan sebahagian daripada badannya dan terus menghilangkan diri selepas itu.
Terdapat juga cubaan daripada penduduk kampung yang turut serta pada malam upacara menyeru buaya tersebut dengan bertindak untuk membunuh enam ekor buaya yang mengiringi itu, namun gagal.
Kebiasaannya, setiap buaya yang menjamah daging manusia akan ‘tulah’ (berdosa) dan pasti akan menerima hukuman daripada pawang buaya disebabkan perbuatannya.
Buaya itu akan mudah dijerat dengan pancing biasanya diumpan dengan monyet, ayam, anjing, biawak atau daging mentah lain.
Dalam pada itu, selepas gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa Kong Gindi, 47, yang dibaham buaya di Sungai Seduku Ili pada 24 Julai lalu menemui jalan buntu, penduduk kampung bersepakat menggunakan khidmat pawang buaya untuk memburu reptilia yang menyerang mangsa itu.
Penduduk Seduku Ili dengan persetujuan keluarga Kong nekad menggunakan khidmat pawang buaya daripada Kampung Seduku, selepas usaha pencarian menemui kegagalan sejak pagi Jumaat lalu.
Terdahulu, mangsa Kong Gindi, 47, disambar oleh sang bedal ke dasar Sungai Seduku, dalam satu kejadian serangan buaya di Rumah Panjang Tuntun, di sini pagi Jumaat (24 Julai) lalu.
Sewaktu kejadian, mangsa bersama seorang rakannya, Saji Thomas, 52, ketika sedang memeriksa dan mencuci perahu sekitar 9.30 pagi.
Oleh Adi Safarman