
SONG: Mayat remaja perempuan yang dihuatiri lemas ketika mandi-manda di Rumah (Rh) Robert Nanga Bajor, Sungai Katibas petang Isnin lalu, ditemukan pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, mayat mangsa dikenali sebagai Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain berusia 13 tahun, ditemukan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 10.44 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan di tebing sungai pada jarak dari rumah panjang 1.5 kilometer (km) dan pihak polis membawa mangsa ke jeti pada 10.54 pagi.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) ditamatkan pada 11.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Katibas berhampiran Rh Robert, Nanga Bajor di sini, petang Isnin lalu.
Menurut PGO, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 5.28 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 23 km dari balai.
“Komander Operasi PBK I (TBK I) Hansil Boniface memaklumkan mangsa, Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain, dikhuatiri lemas semasa mandi di sungai bersama abang dan tiga rakan lain,” katanya.
Oleh Akun Giman