
BINTANGOR: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya di Batu 1, Jalan Kelupu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Sekam Anoi berkata, kemalangan maut tersebut berlaku kira-kira 5.30 pagi.
“Pihak polis telah menerima maklumat mengenai kejadian ini daripada orang awam sebelum pegawai penyiasat bersama anggota trafik bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita warga emas dipercayai telah hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bintangor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Oleh Earl Anek