
KUCHING: Sebuah rumah pekerja terbiar di Lorong Usahajaya 1, Tabuan Jaya musnah dalam kebakaran tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa pagi tadi.
Komander Operasi PBK I (TBK I) Tahir Tuah berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada 11.09 pagi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bertindak segera ke lokasi sejauh 2 kilometer (km) dan tiba dalam masa dua minit, iaitu pada 11.11 pagi.

“Setibanya di lokasi, kebakaran yang dilaporkan melibatkan sebuah rumah pekerja lama yang telah ditinggalkan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan penilaian awal (size-up) dan segera melaksanakan operasi pemadaman dengan membentang aliran sepanjang 400 kaki serta menggunakan dua pancutan air.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.25 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian pada 12.35 tengah hari,” katanya dalam satu laporan JBPM yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, selepas proses pemadaman, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada punca api tersembunyi yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
“Seramai lapan anggota bersama satu jentera FRT terlibat dalam operasi ini.
“Pasukan turut melaksanakan rondaan sempena musim perayaan di sekitar kawasan jagaan selepas operasi tamat,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah