MULBERI merupakan tanaman yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan tubuh badan manusia.
Mungkin ramai yang masih belum mengetahui khasiat mulberi dan untuk ruangan pertanian kali ini, kita rungkaikan antara khasiat mulberi dan kaedah penanaman mulberi.
Mulberi mula dikenali sebagai tanaman dengan daun penghasil klorofil ini awalnya dikenal sebagai makanan istimewa ulat sutera. Dipercayai, jika tidak makan daun mulberi, ulat sutera tidak akan menghasilkan sutera yang baik.
Begitu juga khasiatnya dengan manusia. Daun, buah, kulit pokok dan akar Mulberi mempunyai pelbagai khasiat amat berkhasiat kepada kesihatan manusia.
Air rebusan daun mulberi digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Selain itu, daun mulberi dijemur hingga kering dan dididihkan dengan air mendidih atau direbus.
Air rebusan daun mulberi kering ini boleh diminum sebagai tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.
Daun mulberi juga dikatakan berkhasiat untuk mengawal penyakit kencing manis atau diabetes dan mampu mengawal serta mengurangkan kolestrol dalam pembuluh darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.
Buah mulberi juga turur mempunyai khasiat tersendiri. Buah mulberi yang baru masak dan dipetik dari pokoknya mempunyai rasa sedikit masam manis.
Ia dikatakan berkhasiat untuk buah pinggang manusia dan merawat masalah lemah, keletihan, anemia dan masalah rambut beruban.
Buah mulberi turut digunakan untuk merawat masalah ketidak-bolehan mengawal keluarnya air kencing, pening dan masalah sembelit warga tua. Ia juga dipercayai juga mampu memberi khasiat dan merangsang penghasilan cecair badan.
Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kebaikan mulberi, kita perlulah juga mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.
Pokok mulberi senang ditanam. Ia ditanam dengan keratan batang. Setelah muncul pucuk, buahnya akan menyusul. Kini tanaman mulberi banyak ditanam dikawasan rumah di kawasan bandar.
Masyarakat awam yang mula menyedari khasiat mulberi menanam anak pokok mulberi yang dijual di pasar tani dan kedai-kedai yang menjual anak-anak pokok buah-buahan.
Pokok mulberi juga boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan batang mulberi yang cukup tua. Mulberi dapat tumbuh subur dibawah sinar matahari sehingga tanaman ini dapat tumbuh pada ketinggian lebih 100 meter dari ketinggian permukaan laut.
MELEBATKAN BUAH
Namun, masih ada juga yang belum mengetahui cara melebatkan buah mulberi. Bagi pokok mulberi yang cuma ditanam begitu saja tanpa penjagaan rapi, ia hanya melebatkan daun mulberi.
Di media sosial Facebook, ada juga penanam pokok mulberi memberi cara-cara untuk melebatkan buah mulberi. Caranya mudah saja iaitu cantas semua pucuk dan luruhkan semua daun hingga pokok jadi betul-betul togel.
Setelah pokok mulberi ditogelkan, ia akan tumbuh banyak tunas-tunas baru beserta dengan putik-putik buah. Kemudian apabila buah dah ada sikit warna merah, luruhkan semua daun sekali lagi. Ini memberi peluang kepada tumbesaran buah.
Buah mulberi yang telah masak juga boleh dijadikan jem, malah sudah ada peniaga yang menjual jem mulberi di pasaran.