

PASUKAN BOMBA menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian pemandu dalam kejadian berlaku di Jalan Wawasan, awal pagi tadi. Foto JBPM Sarawak
SIBU: Seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang diparkir di tepi jalan di Jalan Wawasan, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada 1.54 pagi, seterusnya mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda dengan sebuah lori rosak yang parkir di tepi jalan. Terdapat seorang mangsa masih tersepit di bahagian pemandu,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan kaedah SAVER.
“Mangsa berusia 49 tahun, berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Oleh Akun Giman