
PUSA: Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro berlangsung meriah di Rumah Panjang Munggu Ruan, Muton Undai semalam.
Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Undai dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Beting Maro, Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dan Pejabat Daerah Pusa.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menekankan kepentingan perpaduan antara kaum di Sarawak yang terserlah setiap kali musim perayaan seperti Gawai Dayak.
“Hari Gawai bukan sahaja disambut oleh masyarakat Iban, tetapi turut diraikan oleh kaum Melayu dan Cina. Ini membuktikan perpaduan utuh yang terjalin di negeri ini,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat rumah panjang harus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, termasuk dalam aspek pembangunan dan pendidikan.
Menurut beliau, kejayaan pelancaran Jambatan Batang Saribas pada 25 Mei lalu merupakan satu detik bersejarah bagi daerah Pusa, yang bakal membuka ruang lebih luas dalam aspek ekonomi dan sosial bagi penduduk setempat.
“Ini adalah salah satu inisiatif kerajaan Sarawak untuk rakyat di luar bandar dan kita berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha ini,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan agar aspek keselamatan tidak dipandang ringan sepanjang musim perayaan Gawai.
Sementara itu, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan masyarakat Rumah Panjang Munggu Ruan atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut.
“Kita amat bersyukur kerana segala aktiviti dapat diadakan dalam keadaan aman damai, mencerminkan perpaduan yang menjadi aset terbesar rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri amat penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan.
“Premier Sarawak adalah pemimpin berwibawa yang berjaya membawa kemajuan kepada negeri ini. Rakyat perlu terus menyokong pentadbiran yang telah membuktikan kejayaan,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga menggalakkan rakyat di Beting Maro agar terus memajukan sektor pertanian tempatan, termasuk melalui agensi-agensi seperti nipah, kelapa, dan sagu yang kini diberi fokus oleh kerajaan negeri.
Majlis pada malam itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan jamuan tradisi sempena sambutan Gawai Dayak.
-UKAS