KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee menegaskan, belum ada perancangan untuk menghentikan program latihan membabitkan atlet yang terlibat dengan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor yang sudahpun berjalan ketika ini.
Meskipun, kebimbangan umum kembali timbul berikutan berlaku peningkatan jangkitan virus berbahaya (Covid-19) di Bandar Raya Kuching pada masa ini.
“Tiada perancangan setakat ini untuk kita menghentikan program latihan atlet. Akan tetapi, pihak kita mempunyai perancangan untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai persediaan kearah itu,” ujar Dr Ong ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) memberitahu, sebarang tindakan kearah itu perlu menunggu mesyuarat membabitkan pihak kementerian terlibat.
Tambah Dr Ong, sebarang keputusan dibuat pihaknya kelak berpandu kepada arahan dikeluarkan oleh pihak kementerian terlibat.
Ketika ini latihan membabitkan atlet terlibat dengan temasya Sukma XX Johor dari beberapa acara sukan sudahpun memulakan rutin latihan masing-masing dengan berpandu kepada SOP ditetapkan.
“Setakat ini tiada masalah bagi atlet yang sudah berlatih mematuhi SOP ditetapkan selain mengamalkan langkah-langkah yang perlu,” tambah Dr Ong lagi.
Oleh Faizal Bujang