TUARAN: Sabah bakal mengeluarkan satu lagi produk minyak masak tempatan yang dijangka dilancarkan bulan hadapan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia adalah produk minyak masak ketiga keluaran kerajaan negeri dan produk baharu itu dikendalikan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
“Kilang minyak masak berkenaan adalah di Keningau dan saya telah dihubungi SLDB dan ia bakal dilancarkan bulan hadapan.
“Oleh itu, saya yakin pembukaan kilang dengan produk minyak masak baharu itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah kepada ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan dan beramah mesra dengan penduduk Skim Penempatan Lembaga Industri Getah Sabah di sini baru-baru ini.
Pada 3 Februari lepas, Kerajaan Negeri Sabah melakar sejarah apabila melancarkan jenama produk minyak masak sendiri iaitu BESS di Tawau diterajui syarikat Benta Wawasan yang kini mampu memproses dan mengeluarkan kira-kira 2,000 tan metrik minyak masak sebulan.
Pada 4 Julai lepas, Sabah melancarkan satu lagi produk minyak masak jenama Gold di Sandakan yang dikeluarkan syarikat milik kerajaan negeri Sawit Kinabalu.
Mengulas lawatannya, Mohd Shafie berkata beliau yang ditemani Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong telah meninjau beberapa kawasan berpotensi dimajukan.
“Banyak kawasan yang boleh dimajukan di Tuaran khususnya dari segi perikanan dan pertanian. Oleh itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah telah memperuntuk sebanyak 40 lot di kawasan pesisir laut di daerah ini untuk dijadikan pusat ternakan ikan.
“Lot berkenaan akan diberikan kepada belia di kawasan ini dan kita juga akan membantu menyediakan benih ikan untuk memastikan ia dapat dimajukan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan di Kuala Penyu, Kudat, Kunak dan beberapa daerah lain untuk melaksanakan program seperti itu. – Bernama